Saturday, 9 March 2013

Rohani : Didikan Rasulullah S.A.W tentang marah




Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah”. (HR Ahmad)

Marah adalah satu sikap yang sememangnya dikenali dengan keburukannya baik kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Bayangkan perilaku seseorang ketika sedang marah. Badannya mengeletar, darahnya gemuruh dan suaranya mula meninggi. Namun di zaman teknologi maklumat ini, nafsu amarah itu seringkali diluahkan ke dalam laman-laman sosial seperti blog, facebook, twitter dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Perkataan-perkataan yang kurang enak dilihat makin menjadi-jadi terutamanya apabila memberi komen kepada sesuatu yang berlainan fikrah baik dari segi politik mahupun ideologi.

Seorang mukmin akan sentiasa berhadapan dengan keadaan yang sangat menguji emosinya, oleh itu, berusahalah untuk menjaga diri dari marah dan menjauhi segala keadaan yang boleh mendatangkan kemarahan. Didiklah diri sendiri agar mampu menahan kemarahan kerana apabila kita berjaya, masyarakat sekeliling juga akan turut terkesan dan secara tidak langsung mendidik rakan dan taulan disekeliling untuk mengawal nafsu amarah.

Antara tips yang boleh diamalkan untuk mengawal kemarahan adalah:

1. Sentiasa membaca Al-Quran dan beramal dengannya.

2. Menjadikan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W sebagai idola dalam setiap aspek kehidupan.

3. Melatih dan mengajar jiwa dengan sifat sabar dan tidak tergesa-gesa dalam segala hal.

4. Ketika mana diri dalam keadaan marah kepada seseorang, redakan segera dengan memaafkan dirinya serta mengingati kelebihan orang itu;

Maksud sabda Rasulullah S.A.W

Barangsiapa yang menahan marah dan dia sebenarnya mampu untuk menepisnya maka pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di atas penghulu makhluk sehingga ia disuruh memilih bidadari yang diinginkannya
(HR Ahmad, Abu Daud, Tarmizi & Ibnu Majah)

5. Mengubah posisi badan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Jika salah seorang dalam kalangan kamu marah, dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk kerana kemarahan itu akan hilang, jika belum juga hilang maka hendaklah dia baring” (HR Ahmad & Abu Daud)

6. Berwuduk. Rasulullah S.A.W bersabda

"Sesungguhnya marah itu dari syaitan dan syaitan diciptakan dari api. Jika salah seorang di antara kalian marah maka hendaklah dia berwuduk
(HR Ahmad & Abu Daud)



Kawal nafsu amarah